Travelog Perjalanan: Kuala Nerang – Kuala Ketil – Ipoh – Cameron Highlands

Pagi itu kami memulakan perjalanan dari Kuala Nerang menuju Kuala Ketil. Suasana pagi masih segar, jalan lengang, dan ini adalah perjalanan jauh pertama buat Hanan yang baru berusia 4 bulan. Kami memang sedikit berdebar, tapi dalam masa yang sama teruja nak bawa Hanan merasai pengalaman baru.

Singgah di Kuala Ketil

Setibanya di kedai adik di Kuala Ketil, kelihatan mereka sekeluarga sudah menunggu. Suasana jadi meriah bila nampak kami sampai. Anak-anak buah – Kak Long Iffah, Kak Ngah Ismah, Kak Lang dan Kak Cik – semuanya teruja menyambut kehadiran kami, lebih-lebih lagi bila nampak Hanan. Mereka berebut nak tengok , wajah masing-masing jelas terpancar gembira.

Dalam suasana itu, Ismah sempat bertanya,

“Berapa hari Pak Ngah nak ke Kuala Lumpur?”

Saya jawab, “Dalam 10 hari.”

Ismah membalas, “Lamanya… nak ikut!”

Saya tersenyum lalu berkata, “Nanti la, Pak Ngah pergi survey tempat dulu. Bulan 12 nanti Pak Ngah bawa.”

Ismah sempat bertanya lagi, “Survey tu apa?”

Saya pun ringkaskan maksudnya, “Pergi tengok tempat dulu.” Anak-anak buah yang lain hanya mendengar sambil tersenyum. Suasana jadi hangat dengan gelak ketawa kecil.

Perjalanan ke Ipoh

Perjalanan seterusnya menuju Ipoh. Kami sengaja pilih jalan dalam kononnya mahu elak tol. Namun, GPS membawa ke laluan Lenggong menghala ke Gerik, agak jauh dari laluan biasa. Mujur perjalanan tetap lancar. Kami berhenti solat di sebuah masjid berhampiran Victoria Bridge, sebelum menyambung perjalanan.

Sekitar jam 2.30 petang, akhirnya kami tiba di Ipoh.

Persinggahan di Simpang Pulai

Dari Ipoh, kami bercadang terus ke Cameron. Perut mula lapar, jadi saya minta isteri ‘Google’kan kedai makan yang menarik sekitar Simpang Pulai. Dapatlah satu nama – Eryna Sup Darat.

Kami pun singgah. Hanan ketika itu berada di riba mama, sesekali lena, sesekali jaga ketika perjalan menuju ke kedai. Apabila sampai di kedai makan, saya beri laluan kepada isteri makan dahulu, sementara saya memangku Hanan. Selepas itu baru giliran saya. Kami kongsi satu nasi putih, ditemani dua mangkuk sup – satu sup perut muda, satu sup campur. Hirupan kuah sup panas-panas, ditambah suasana hujan renyai di luar, benar-benar menyegarkan jiwa dan memberi tenaga untuk mendaki.

Mendaki ke Cameron Highlands

Perjalanan mendaki dari Simpang Pulai ditemani hujan renyai-renyai. Lebih kurang 20 km perjalanan, kami terserempak dengan sebuah Toyota Hilux yang saya agak gagal mengawal brek sewaktu menuruni bukit akibat jalan basah . Hilux itu terbabas sendiri ke tepi longkang bahu jalan. Nasib baik tidak serius, tetapi cukup membuatkan kami lebih berhati-hati.

Syukurlah, selebihnya perjalanan lancar. Tidak banyak kereta menuju Cameron ketika itu, mungkin kerana hari Jumaat – masih hari bekerja bagi sebahagian negeri di Semenanjung.

Check-In Hotel

Tiba di hotel, kami segera check-in dan berehat sebentar sementara menunggu waktu solat jamak Maghrib dan Isyak. Baby Hanan kelihatan letih, berbaring di katil. Mama menyiapkan Hanan: membersihkan badan, menukar pampers, dan memakaikan baju tidur berbulu tebal ala-ala teddy bear. Baju itu mama beli di TikTok, dengan penuh teruja. Sebelum adanya Hanan, mama tak pernah pun membeli apa-apa barang secara online. Kini, sejak adanya Hanan, mama pun sudah pandai order barang di talian.

Malam di Centrium Cameron

Selepas solat, kami keluar berjalan di Centrium Cameron Highlands. Mujurlah hotel kami berdekatan, jadi tidak perlu keluarkan kereta. Suasana malam yang dihiasi lampu-lampu berwarna-warni, ditambah hujan renyai dan udara sejuk, benar-benar membuatkan hati terasa tenang.

Saya mendukung Hanan sepanjang berjalan-jalan malam itu. Ramai orang yang tersenyum bila melihatnya, ada juga yang menegur mesra. Sebelum pulang ke bilik, saya mengajak isteri singgah minum kopi dan makan ringan. Kami pilih roti bakar, ditemani secawan kopi campur butter yang rasanya memang luar biasa.

Staff kedai melayan kami dengan mesra, menyapa dan menegur Hanan yang berada dalam dukungan saya. Momen ringkas itu mengakhiri hari perjalanan kami dengan penuh syukur.

Hari pertama perjalanan kami berakhir dengan penuh cerita – dari kemeriahan anak-anak buah menyambut di Kuala Ketil, perjalanan jauh yang penuh warna, singgah makan sup panas di Simpang Pulai, hinggalah suasana dingin dan nyaman di Cameron Highlands. Hanan berjaya melalui perjalanan pertamanya dengan baik, walaupun sesekali merengek kecil, tapi tetap jadi penyeri kembara kami. Malam itu, kami tidur lena, bersedia untuk menyambung perjalanan esoknya menuju destinasi seterusnya.

design by @pedangmujahid