Rezeki dan Takdir Allah semuanya indah.

Ujian Dua Minggu Sebelum Cuti Sekolah

Dua minggu sebelum cuti sekolah, kami sekeluarga melalui beberapa ujian kecil yang datang bertimpa-timpa.

Pagi itu, isteri memandu seperti biasa. Namun tiba-tiba, kereta yang dipandu terlanggar kaki lima pejalan kaki. Akibatnya, tayar pecah habis. Mujurlah kejadian berlaku berhampiran rumah. Isteri sempat berjalan pulang dan menukar kereta—kali ini menggunakan kereta oren.

Tidak lama selepas itu, isteri teringat ada barang yang tertinggal dalam kereta asalnya lalu berpatah balik. Entah mengapa, hati saya rasa tidak sedap. Lalu saya buat keputusan untuk menghantar dan menjemput isteri sendiri pada hari itu.

Kebetulan, jam 10.00 pagi saya ada pertemuan bersama Ketua Polis Daerah Padang Terap bersama beberapa kakitangan masjid bagi membincangkan isu tertentu. Pertemuan itu selesai sekitar jam 12 tengah hari. Saya segera bergegas menjemput isteri kerana pada sebelah petang pula ada janji temu dengan doktor.

Dalam perjalanan pulang, ujian kedua menimpa. Kereta oren yang kami pandu pula dilanggar oleh seorang pelajar sekolah. Allahu… hari itu benar-benar menguji kesabaran. Namun kami belajar untuk berdamai dengan takdir. Kami yakin, ada hikmah yang Allah sembunyikan.

Ke Wheelpro, Kubang Rotan

Seminggu selepas kejadian itu, kami ke Wheelpro di Kubang Rotan untuk menukar tayar baharu. Saya membeli dua biji tayar dengan harga yang berbaloi. Dalam perjalanan ke sana, saya bartanya kepada isteri:

“sayang!!, ni bukan jalan nak ke rumah mertua Alizan?”

Isteri tersenyum lalu membalas, “Betul la tu.”

Lalu kami berbual tentang sahabat lamanya, Cikgu Alizan—junior isteri semasa di SK Taman Seri Gombak. Beliau berasal dari Terengganu manakala isterinya, Ina, pula orang Kedah. Kini mereka menetap di Paka, Terengganu. Disebabkan jadual cuti sekolah yang berbeza, peluang untuk berjumpa memang jarang. Biasanya kami pulang ke Terengganu manakala mereka pula ke Kedah. Maka, pertemuan hanyalah melalui ruang maya di Facebook.

Pertemuan di Cameron Highland

Namun, aturan Allah jauh lebih indah. Dalam perjalanan kami ke Kuala Lumpur, kami singgah bermalam di Cameron Highland. Tujuannya sekadar membawa si kecil, Hanan, berjalan-jalan. Alhamdulillah, Hanan mudah dibawa ke mana-mana. Tidak banyak karenah, seolah-olah sudah terbiasa dengan perjalanan.

Ketika kami berjalan di sekitar Centrium Cameron, pandangan saya tertumpu pada seorang lelaki yang kelihatan amat dikenali. Masya-Allah, rupa-rupanya Cikgu Alizan! Hampir 18 tahun tidak berjumpa, dan Allah mempertemukan kami di tanah tinggi ini, tanpa sebarang perancangan.

Alizan masih sama—tenang dan segak seperti dahulu. Bezanya, anak-anaknya kini sudah membesar. Kami sempat bergambar untuk dijadikan kenangan berharga. Sebelum berpisah, saya sempat berpesan:

“Lain kali kalau balik Kedah, singgahlah ke rumah saya.

Dari ujian yang datang tanpa diduga, hinggalah pertemuan yang tak pernah disangka-sangka, saya semakin yakin bahawa semua ini adalah aturan Allah. Kadang-kadang, kita diuji dengan kesulitan untuk menyedarkan kita tentang sabar. Dan kadang-kadang, kita dikurniakan kejutan indah untuk menguatkan kembali hati.

design by @pedangmujahid