* sumber gambar dari Bernama
Kami bangun agak lewat pagi itu. Selepas membersihkan diri dan menyiapkan Hanan, kami turun ke bawah untuk bersarapan. Hidangan yang ada cukup mengenyangkan, boleh dikira sekali sebagai makan tengahari. Suasana pagi di Cameron terasa nyaman, dingin dan mendung.
Selepas makan, kami naik semula ke bilik untuk berkemas dan check-out lebih kurang jam 11 pagi. Hari ini kami tidak rancang sebarang aktiviti berat, sekadar ingin singgah sebentar di Kea Farm untuk membeli cenderamata.
Jem Menuju Kea Farm
Namun, baru sahaja keluar dari kawasan Centrium, perjalanan sudah mula tersekat. Laluan ke arah Kea Farm penuh sesak. Rupanya, kerana hari Sabtu, ramai pelancong dari negeri cuti hujung minggu Sabtu–Ahad mula membanjiri Cameron. Deretan kereta bergerak perlahan, hinggakan jarak 3 km dari hotel ke Kea Farm memakan masa hampir 40 minit.
Mencari Parking
Setibanya di kawasan Kea Farm, cabaran seterusnya pula ialah cari tempat letak kereta. Laluan sebelah kiri yang biasa kami gunakan untuk parkir sudah penuh dan ditutup – tiada lagi kenderaan baru dibenarkan masuk. Akhirnya saya cuba cari parkir di sebelah kanan, tetapi kawasan itu memang agak jauh dan perlu menuruni laluan berbukit.
Isteri bersuara,
“Masak kita kalau nak berjalan macam ni.”
Namun, sebaik terpandang signboard “Buggy disediakan (free ride)”, terasa lega sedikit. Kami pun teruskan turun lagi ke bawah dengan kereta, hampir 1 km dari Kea Farm, di mana ada kawasan lapang untuk parkir.
Tapi belum sempat saya masuk parkir, mata terpandang barisan orang yang sedang menunggu buggy – lebih kurang 300 meter panjangnya!
“Perghhh…” hanya itu yang mampu saya sebut. Melihatkan panjangnya barisan, rasanya tak sanggup nak beratur, apatah lagi sambil mendukung Hanan yang masih kecil.
Isteri akhirnya menyarankan,
“Kita patah balik sajalah, kesian dekat Hanan.”
Saya akur. Perjalanan ke Kea Farm hari itu berakhir sia-sia. Kami berpatah balik dan sekadar membeli cenderamata serta sedikit makanan di kedai tepi jalan sahaja sebelum meninggalkan kawasan tersebut.
Turun dari Cameron
Selepas itu, kami teruskan perjalanan menuruni Cameron menuju Tapah. Sepanjang perjalanan, banyak kenderaan kelihatan mendaki dari arah Tapah menuju Cameron, menandakan pelancong semakin ramai memenuhi tanah tinggi itu.
Kami tiba di R&R Tapah sekitar jam 2.45 petang untuk berhenti solat dan menukar pampers Hanan. Saya letakkan Hanan di atas car seat, nampak dia tenang berehat di situ setelah penat dibawa dalam perjalanan panjang.
Menuju Casmaria Gombak
Perjalanan dari Tapah ke Gombak diselang-seli dengan hujan renyai dan cuaca cerah. Jalan agak lancar, tetapi sepanjang lebuhraya kelihatan arah bertentangan dari KL ke Utara penuh sesak dengan kenderaan. Agaknya orang-orang KL sudah mula bergerak pulang ke kampung.
Akhirnya, sekitar jam 5.45 petang, kami tiba di Casmeria Gombak dengan selamat. Hanan masih lena di car seat, dan kami bersyukur kerana perjalanan hari kedua ini selesai tanpa sebarang masalah besar.